laman ini sedang dalam penambahbaikkan..
sebarang kesulitan amat dikesali..

PART 3 : GMI MENANGANI CABARAN

Sunday, February 8, 2009

“sila bertindak dan berbuat seperti yang pernah saya buat ketika menjadi mahasiswa. Tapi bersedialah seperti saya dulu untuk masuk penjara”
Anwar Ibrahim


Gerakan Mahasiswa Islam [GMI] terpaksa menangani pelbagai cabaran bagi meneruskan survival mereka di kampus nasional. Di sini, penulis membicarakan secara ringkas peranan pihak tertentu yang berkospirasi menjatuhkan GMI di kampus. GMI perlu berwaspada terhadap perancangan musuh yang licik dan bijaksana. Jika GMI terperangkap dengan muslihat musuh, tidak hairanlah GMI akan dimusnahkan oleh pihak musuh. Wahai Sahabat Mahasiswa! Rancang dan berwaspadalah dalam setiap langkahan agar GMI tidak terperangkap dengan helah musuh.

PERANAN HEP

Kini, kebanyakan aktiviti persatuan dibelenggu belitan besi panas oleh HEP sehingga kelihatan aktiviti berpersatuan di universiti begitu lesu. Banyak sekatan dan syarat baru dikenakan boleh memandulkan budaya berpersatuan yang selama ini memang semakin menurun minatnya di kalangan pelajar. Pelajar tidak diberikan kebebasan untuk merencanakan program mereka menyebabkan kekreatifan dan budaya berfikir mahasiswa boleh terbantut. Bahkan HEP mengadakan program tertentu secara terang ingin menjatuhkan aspirasi mahasiswa. Pelajar tahun satu mula dibasuh minda mereka, diugut, ditawar habuan bagi menyokong calon aspirasi universiti. Sekali imbas, HEP telah melakukan ketidakadilan dan mengalakkan politik wang dalam pilihanraya kampus.

HEP juga diperalat oleh UMNO sebagaimana berlaku di UKM, UM dan kampus lain. Di UKM, GMI dihalang melakukan pertarbiyahan dan aktiviti peringkat kolej. Begitu juga di UM, Puteri Umno diberi peluang berkempen dalam pilihan raya kampus, aktiviti GMI disekat dan dilakukan grand design iaitu UM is One sebuah rancangan khas untuk menjatuhkan GMI. Apabila pihak HEP sendiri menjadi seteru dengan GMI, segala aktiviti GMI disekat oleh HEP. HEP cuba melambatkan program, menghalang dan mengenakan pelbagai syarat yang ketat bagi sesuatu program.

Dalam pilihanraya kampus, HEP menyokong secara terang-terang pada pihak aspirasi universiti dari segi kewangan, program menjatuhkan GMI dan turut sama berkempen untuk memburukkan imej GMI. Lihatlah kain rentang berbunyi ‘bersihkan unversiti daripada imej pembangkang’ inilah satu kempen jahat. Pada malam pengundian, bilik pelajar GMI dicerobohi dan keesokan harinya pendokong GMI dilibatkan dengan gerakan bawah tanah. Pelbagai cara HEP lakukan untuk memusnahkan GMI. Tindakan agresif HEP boleh mengekang pergerakan GMI tetapi HEP haruslah ingat cahaya kebenaran dan keadilan akan berjaya menerobos kabus kemungkaran dan korupsi walapun beribu lapisan kabus. Kita mahasiswa adalah insan yang berfikir akan menyedari tentang kebenaran pada akhirnya kecuali para pembodek yang cintakan habuan material dan pengamal maksiat.

PERWARNAAN SEMULA GERAK KERJA GMI

Pelbagai mehnah yang diterima menyebabkan GMI kelihatan tidak bermaya, sepi tanpa berita dan bagaikan menjadi sebuah kisah mitos yang diceritakan oleh ibu kepada anaknya. GMI perlu mengemas kini dan menyemak kembali idealis dan metode perjuangan agar ia sesuai dengan mehnah yang semakin ekstrem daripada HEP dan kerajaan. Pertama, tarbiyah perlu diperkasakan terutamanya di kolej-kolej. Metode tarbiyah Ikhwanul Muslimin perlu disuntik dengan segera agar roh perjuangan GMI dikentalkan kembali. Program halaqah ilmu umum secara mingguan boleh dilakukan diluar kampus dengan menjemput ustaz haraki dan ia diadakan di rumah sewa pelajar [markaz GMI]. Program ini amat penting bagi GMI untuk mempertingkatkan pengetahuan asas-asas Islam setelah program halaqah ilmu seperti Raudhah [di UM] telah dikasikan. Selain menuntut ilmu, pihak pimpinan GMI dapat merapatkan hubungan ukhwah sesama ahli GMI.

Amalan wirid khusus perlu dijadikan amalan kerohanian seharian bagi pendokong GMI. Santapan kerohanian ini amat penting bagi menguatkan roh insani pendokong GMI. Disini saya sarankan agar pihak GMI mewajibkan wirid Manzil [amalan Jemaah Tabligh] dan Mathurat kepada setiap ahli GMI. Pengamalan wirid khusus mengambarkan istiqamahnya insan dalam perjuangan Islam dan mendekatkan diri dengan Allah. Ini bermakna GMI mempunyai agenda al Taghyir al ruhiy atau perubahan kejiwaan kerana kekuatan rohani merupakan tonggak generasi nabawi yang mampu mencipta pelbagai keajaiban yang mengagumkan.

Ketiga, integrasi antara kaum. GMI tidak harus meremehkan sokongan rakan-rakan non muslim dalam memperjuangkan isu-isu kampus dan nasional. Kita wajar mengambil iktibar daripada kegagalan GMI di UKM mengikat hubungan yang kukuh dengan non muslim. Pihak IPU atau MAMPU di UKM perlu melakukan perubahan segera untuk menjalinkan hubungan rapat dengan non muslim. Formula integrasi kaum dalam politik kampus sangat berkesan di USM dan UM. Di USM, PMIUSM berkerjasama dengan erat dengan Persatuan Bahasa Cina USM. Penulis amat tertarik dengan konsep tahaluf siyasi yang dilakukan oleh Persatuan Bahasa Tamil UM, PMIUM dan UMANY [Cina] dengan pembentukan GMUM. GMUM inilah yang menentang pihak MGMUM yang pro HEP. Dengan sokongan non-Muslim, GMI akan lebih bermaya meredah ranjau perjuangan yang semakin mencabar dan ganas.

GMI PRO PEMBANGKANG?

Tohmahan terbesar yang dihadapi oleh GMI adalah pro pembangkang. Imej pembangkang yang tercalit kepada GMI tidak boleh dinafikan sama sekali. Kita mengakui kebanyakan pendokong GMI adalah pro pembangkang tetapi sebetulnya mereka pro keadilan, etos kemanusiaan, kebenaran dan Islam. Apabila GMI memperjuangkan isu seperti ISA, hudud, AUKU dan kebebasan pilihan raya serta media, secara automatiknya kerajaan, HEP dan masyarakat melabelkan GMI sebagai pro pembangkang. Tahukah kita, GMI boleh hidup di kampus nasional kerana sifat kebersamaan GMI dengan sebahagian besar pelajar yang aktif dan berpengaruh daripada pelbagai bangsa.

Kita perlu tahu, kebanyakan pelajar kini adalah pasif, tidak peka dengan masalah semasa, berbudaya seronok-seronok dan tidak menghiraukan politik atau aktiviti berpersatuan. Semasa pilihanraya, pelajar aktif dan berpengaruh [biasanya, pelajar ini aktif dalam berpersatuan] yang mendokong GMI dan sekutu non-muslim GMI, akan memujuk rakan-rakan mereka supaya turun mengundi dan memangkah proksi GMI. Pelajar ini hanyalah segelintir daripada keseluruhan mahasiswa di kampus [sekitar 2000 orang].

Keterlibatan GMI dalam politik adalah satu kebiasaan bagi gerakan Islam. Islam dan politik tidak dapat dipisahkan bahkan ia saling berkait antara satu sama lain. Politik atau siasah ini adalah warisan para rasul. Lihatlah sirah para rasul menghadapi cabaran berdepan dengan kerajaan dan pemimpin zaman masing-masing. Nabi Musa menghadapi Firaun dan Nabi Ibrahim menghadapi Namrud, pemerintah Babylon. Bukan setakat menghadapi pemerintah bahkan ada para rasul merupakan pemimpin kerajaan seperti nabi Daud, Sulaiman dan Muhammad SAW. Jadi bukan menghairankan jika GMI terlibat dalam politik. Dalam konteks zaman moden, penguasaan politik bermakna menguasai kehidupan di sesebuah negara. Dengan politik kita dapat menguasai pendidikan, ketenteraan, dasar ekonomi dan segalanya. Justeru, adalah kewajiban GMI memasuki kancah politik berdasarkan kemampuannya.



PERANAN KERAJAAN


Dasar kerajaan juga mempengaruhi potensi GMI untuk meneruskan keteguhan kuasa mereka di kampus nasional. Dasar meritokrasi sebagai contoh telah membawa kemasukan secara beramai-ramai pelajar Cina ke kampus-kampus IPTA. Jumlah pelajar yang hampir sama di antara Melayu dengan Cina akan membawa ketidakstabilan politik kampus dan ia sendiri bakal menghancurkan pakatan GMI dengan non muslim. Kehancuran ini boleh berlaku apabila pelajar Cina meminta jawatan pentadbir MPP dan jumlah calon lebih ramai daripada Melayu-Islam.

Kerajaan juga terlalu meracuni pemikiran pelajar dengan kepentingan material terutamanya berkaitan peluang pekerjaan. Sifat material ini secara halusnya berjaya menjadi ugutan ghaib yang membimbangi pelajar untuk aktif dalam GMI. Kita tidak boleh menafikan kepentingan kerja tetapi berikanlah mahasiswa untuk berjuang dalam isu-isu masyarakat. Zaman mahasiswa bukanlah penentu hala tuju seseorang kerana mereka masih bereksperimen dalam menentukan jalur perjuangan, mereka masih berjalur bebas dan bersifat anak muda yang membara semangatnya. Berilah mahasiswa untuk memarakkan perjuangan mereka dalam tempoh 3 atau 4 tahun semasa dalam pengajian. Selepas tempoh pantang tamat, mereka sendiri akan menentukan jalur mereka sama ada bersama kerajaan atau pro pembangkang.

Lihatlah betapa baiknya pengurusan DBP yang ditadbir oleh Aziz Deraman, seorang tokoh pelajar yang ditahan polis dalam demonstrasi awal 1970an, lihat juga Ahmad Shabery Cheek yang mengetuai demontrasi anti-Amerika telah menjadi Ahli Palimen Kemaman daripada UMNO. Lihatlah ramai tokoh pelajar yang ekstrem dan menongkah arus semasa zaman mahasiswa berduyung-duyung memasuki kerajaan dan UMNO yang diludahinya dahulu. Demi sesuap nasi, mereka mengadaikan cita-cita GMI. Inilah keberkesanan racun pentingnya ‘kerja’ yang disuntik ke dalam pemikiran mahasiswa. Apa nak dirisaukan pada gelombang mahasiswa yang bersifat sementara ini. Ayuh kerajaan! Ayuh HEP! Benarkan GMI bergerak tanpa provokasi dan sekatan.

PERANAN MEDIA MASSA

Bagi sebahagian masyarakat Malaysia terutamanya di pendalaman, media massa terutamanya TV dianggap ‘tuhan’ secara tidak sedar disamping Allah S.W.T yang diakui oleh mulut, hati dan perbuatan. Manakala akhbar dianggap ‘wahyu suci’ yang benar, dan ia amat dipercayai dan dibaca melebihi daripada al Quran. Begitulah hebatnya pengaruh media massa dalam masyarakat kita. Jika gerakan Islam seperti PAS, ABIM, JIM dan PUM berjaya diburukkan dengan mudah apalagi GMI yang kurang berupaya dari segi jentera dan kewangan. Media massa akan memulakan kempen dengan melabel yang mana pro pembangkang dan aspirasi universiti. Seterusnya melakukan serangan bertubi-tubi memburuk juak yang pro pembangkang kononnya. Akibatnya, GMI terkulai layu tanpa peluang membela diri.

Kita perlu mendengar nasihat Tun Dr. Mahathir supaya rakyat Malaysia tidak melupai ilmu sains sosial dan ilmu kemanusiaan terutamanya sejarah di kala semua orang mengejar material yang diikonkan melalui ilmu sains gunaan. Jika kita celik dan mengambil cakna tentang sejarah, kita dapat menyelinap di sebalik lembaran akhbar, betapa besar peranan akhbar dalam mempengaruhi fikiran rakyat. Contoh, akhbar al Iman berjaya menyebarkan idea kaum muda untuk mengislah masyarakat Melayu. Kejatuhan kerajaan pelajar Islam yang pertama di kampus-kampus nasional juga dicanang dengan kerjasama antara HEP, juak nasionalis dan akhbar pada tahun 1980.

Ketika kejatuhan PMIUM [golongan Islamis pertama menguasai PMUM, dikenali Barisan Mahasiswa) dari MPP pada tahun 1980, satu grand design dijalankan oleh HEP dengan Utusan Malaysia untuk menjatuhkan GMI [pada masa ini GMI di bawah pengaruh ABIM-PKPIM] di Malaysia. Utusan Malaysia secara terang berkempen untuk juak nasionalis dengan menuduhkan GMI adalah pelampau.

Tajuk akhbar: ‘GERAKAN REJIM KAMI DI KAMPUS’

Begitulah lembaran depan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 8.7.1980 telah menuduh satu gerakan bawah tanah pelajar Islam yang berbahaya dengan sikap taksub, antitoleransi dan pelampau telah bertapak di kampus-kampus utama. Modus operandi kewujudan nama Regim KAMI adalah sama dengan kewujudan nama al Qaeda, Jemaah Islamiyyah dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang diselimuti dengan kekaburan. Pada masa itu, UKM dituduh sebagai pusat Rejim KAMI tetapi dinafikan oleh PMUKM. Akibatnya golongan Islam tumbang dalam pilihanraya kampus di UPM dan UKM [lihat Utusan Malaysia, 12.7.1980]. Di UKM, TSB memperolehi 24 kerusi daripada 30 kerusi mengalahkan ATMA [Islamis pro-ABIM] dan di UPM, Angkatan [nasionalis] mendapat memenangi 14 kerusi daripada 24 kerusi mengalah GKM.

Kini tiba giliran pilihanraya kampus di UM, golongan Islamis di UM mula terasa bahang apabila akhbar Utusan Malaysia bertarikh 15.7.1980 mula menyerang PMUM [yang dikuasai oleh PMIUM] dengan menyiarkan dua surat pembaca iaitu ‘POLITIK PONDOK DI UM’ oleh bekas siswa dan ‘MAHASISWA MENOLAK GOLONGAN PELAMPAU’ oleh Nasrul Elias Mohd Ali. Kospirasi akhbar Utusan Malaysia dengan juak nasionalis dan HEP telah sampai kemuncak apabila Utusan Malaysia [16.7.1980] menyiarkan tajuk depan ‘SEDERHANA YAKIN BERKUASA’. Perkara ini menunjukkan golongan nasionalis yang sederhana itu mendapat publisiti percuma dan Utusan Malaysia jelas berkempen untuk juak nasionalis dan HEP. Akibatnya, asakan informasi negatif ini telah berjaya menjatuhkan imej PMIUM dan berjaya menpengaruhi psikologi pelajar untuk menyokong golongan nasionalis ‘sederhana’ yang mendokong aspirasi universiti dan kerajaan.

Sambutan kekalahan PMIUM disambut besar-besaran bagaikan menyambut kemenangan tentera Kristian Portugis yang menewaskan Kerajaan Islam Melaka di Vatican City dengan penyiaran berita pada muka hadapan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19.7.1980 dengan tajuk ‘SEDERHANA MENANG BESAR DI UM’. Dalam pilihanraya kampus itu, Gabungan [nasionalis] memenangi 20 kerusi daripada 21 kerusi yang dipertandingkan dengan mengalahkan Barisan. Begitulah tragisnya kejatuhan kerajaan pelajar Islam pertama di UM yang dikospirasikan oleh HEP, nasionalis dan media massa. Media massa memainkan peranan begitu besar menjatuh GMI. Dengan media massa, tohmahan yang bohong boleh dianggap benar oleh masyarakat.

MENANGANI MUSUH POLITIK

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO menyebabkan GMI berpecah-belah sehingga berlaku pertentangan diantara GMI pro-Anwar yang berkerjasama dengan mahasiswa nasionalis menentang GMI pro-PAS. Pertembungan pada era 1990 boleh dilihat pertembungan sesama Islam. Pilihan raya kampus telah menelurkan penubuhan parti politik kampus yang berimejkan pro kerajaan dan HEP yang bertentangan dengan pendokong Aspirasi Mahasiswa yang didakwa bebas daripada politik luar tetapi diwar-warkan sebagai alat parti pembangkang ekoran perbedaan pendapat dengan pihak kerajaan dan HEP. Sebelum pertempuran di gelanggang politik kampus, sewajarnya kita mengenali parti politik kampus di varsiti masing-masing.

Platform asas bagi GMI di kampus adalah Persatuan Mahasiswa Islam (PMI) seperti PMIUM, PMIUPM, PMIUTM, PMIUSM dan ISIUKM. Daripada persatuan inilah muncul parti politik kampus. Selain PMI, PKPIM dan KARISMA juga pendokong GMI tetapi berlainan fikrah. Sebenarnya, pada peringkat awal GMI tidak menyetujui sistem parti politik di kampus kerana boleh membawa perpecahan kepada masyarakat kampus. Ekoran daripada sikap inilah PMIUM memulau pilihanraya kampus yang dimenangi Barisan Mahasiswa Bersatu [BMB] di bawah pimpinan Shamsuddin Moner pada tahun 1990. Walau bagaimanapun dasar ini berubah dengan penubuhan NADI dan Kelab Penyokong NADI (PENA). Terkini di UM, PMIUM berkerjasama dengan UMANY [Cina] membentuk Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya [GMUM] menentang serpihan BMB yang berpecah ekoran pemecatan Anwar Ibrahim yang menubuhkan Majlis Gabungan Mahasiswa Universiti Malaya [MGMUM].

Semasa Anwar Ibrahim bersama kerajaan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dimanupulasikan untuk membendung pengaruh PMI di kampus. Di UKM, golongan pro-ABIM, Angkatan Tindakan Mahasiswa (ATMA) mula bersekutu dengan Tindakan Siswa Bersatu (TSB) menentang proksi PAS, Islam Penyelamat Ummah (IPU) atau dikenali sebagai MAMPU. Kini, TSB diasimilasi menjadi juak ASIPRASI HEP UKM serasi dengan penubuhan Kelab Pepaduan dan Kelab WAWASAN di kampus-kampus nasional. ASPIRASI HEP UKM berjaya mengalahkan IPU pada tahun 2003. Di UPM, Anwar Ibrahim sebelum dijatuhkan telah menghantar Intelektual Pendukung Kebajikan Mahasiswa (IPKM) menentang Angkatan Mahasiswa Bersatu (AMB) proksi PMIUPM. Dalam pilihanraya kampus 2003/2004, ASPIRASI HEP UPM telah mengalahkan AMB dengan perolehan kerusi 31 berbanding AMD, 14 kerusi. Kini, ASPIRASI HEP UPM menguasai MPPUPM setelah mengalahkan PMIUPM dan PKPIM.

Di UTM, GMI diwakili Hizbi Islami melawan ASPIRASI HEP UTM manakala di USM, GMI diwakili Kesatuan Mahasiswa (KM) yang bekerjasama dengan Persatuan Bahasa Cina USM menentang ASPIRASI HEP USM. DI UIA, GMI diwakili We United For Islam (WUFI) menentang proksi HEP-PKPIM-ABIM, Rest of the World (ROW) dan SAHABAH yang pro kerajaan. Medan perjuangan di UIA sangat unik kerana ia melibatkan sesama Islam dan HEP UIA mempunyai hubungan longgar dengan kerajaan bahkan HEP UIA membawa idealis ABIM melalui tokoh-tokoh ABIM yang memegang tampuk pentadbiran UIA seperti Sidek Baba, Mohd Nur Manuty dan Muhd Kamal Hasan. Oleh sebab itu, UIA merupakan kubu kuat PKPIM walaupun dikuasai WUFI. Di UUM, proksi GMI, Ikatan Ikhwan Utara [IIU] menentang ASPIRASI HEP UUM yang dikenali IAU.

Pertembungan GMI dengan golongan aspirasi universiti merupakan fitrah alam bagi setiap perjuangan. Bukan GMI hendak mencari permusuhan tetapi kefasikan dan kemungkaran perlu dihapuskan. Adalah tanggungjawab GMI mengingat dan menyeru HEP, pemerintah dan rakan-rakan mahasiswa pengkagum material dan maksiat kembali kepada ajaran Islam. Bagi menegakkan yang hak dan menegah yang bathil, wajib bagi GMI menentang juak-juak pembodek ini tanpa kompromi.

GMI BERSAUDARA: SATU MATLAMAT, LAIN FIKRAH

Matlamat utama GMI adalah melihat Islam tertegak kampus dan negara ini sebagai cara hidup secara murni. GMI yang berpengaruh di Malaysia adalah PMI yang dilihat proksi PAS, PKPIM dan platform di kampus mewakili ABIM dan KARISMA mewakili JIM. Secara umumnya GMI mempunyai matlamat yang sama tetapi pendekatan yang berbeda. Pendekatan yang berbeda ini adakalanya mencetuskan pemusuhan sesama pendokong GMI. Dengarlah wahai sahabat mahasiswa, pesan Hasan al Banna supaya kita bersama dalam perkara yang disepakati dan menghormati setiap perbedaan pendapat. Jangan bermusuh kerana ia akan merugikan masa.

PKPIM-ABIM telah meminggirkan PAS setelah kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982. Pada 27 Julai 1990, secara rasmi IRC meninggal wadah perjuangan PAS dengan penubuhan Jemaah Islah Malaysia [JIM]. Ketiadaan institusi pengkaderan mahasiswa di kampus menyebabkan PAS sendiri menjalinkan kontrak antara Dewan Pemuda PAS dengan PMI di kampus-kampus nasional. Kontrak ini diperkemaskan lagi dengan penubuhan Gagasan Mahasiswa Islam SeMalaysia [GAMIS] pada tahun 1990 sebagai alternatif PKPIM dan IRC. GAMIS membekalkan ramai pemimpin pelapis kepada PAS. Kumpulan alumni PMI yang terkenal sebagai kumpulan Republik Islam [atau kumpulan Universiti Malaya] adalah fikrah PAS yang asal terpaksa bersaing dengan Suara Islam [pimpinan Khalid Samad, adik Sharir Samad, orang kuat UMNO Johor], IRC [pimpinan Fauzi Shafie] dan bekas tokoh ABIM [pimpinan Halim Arshat] dalam pemilihan kepimpinan Dewan Pemuda PAS. Fenomena jemaah dalam jemaah hanya mampu disifarkan semasa Manfuz Omar menjadi Ketua Pemuda PAS.

Penubuhan GAMIS disebabkan forum pelajar yang mewakili GMI, Barisan Bertindak Mahasiswa Negara [BBMN] tidak berfungsi apabila PMUM diambil alih oleh juak nasionalis. BBMN ditubuh oleh Zukifli Yusof [kini pensyarah APIUM] untuk menyatukan MPP di seluruh negara pada tahun 1986. Hubungan GMI dengan PAS tidak perlu dihairan kerana kebanyakan pertubuhan luar mempunyai proksi atau jaringan di kampus termasuk GPMS, Puteri dan Pemuda UMNO, GAPENA, DAP, PUM atau pertubuhan picisan seperti UBU, DEMA dan kelab Jalan Telawi. Kebanyakan jaringan ini bersifat bawah tanah. Jadi tidak usah riuh seluruh negara jika kes-kes pertubuhan bawah tanah [kes Wan Norhayati yang menyalahkan orang lain] berada di kampus selagi ia tidak mengancam agama dan keselamatan negara.

Wahai sahabat mahasiswa! Berhati-hati apabila mendengar seruan untuk memartabatkan Islam. Ingatlah peristiwa tahkim semasa perang antara Syaidina Ali R.A dengan Muawiyah R.A. Semasa di ambang kekalahan tentera Muawiyah telah menggunakan helah dengan meletakkan al Quran di hujung tombak sebagai tanda pendamaian. Berkatalah Ali dengan ayat yang tidak difahami oleh pengikutnya sehingga majlis syura bersetuju untuk berdamai. Rumusan kata-kata Ali adalah kalimah itu adalah hak tetapi matlamatnya adalah bathil. Mereka menggunakan kalimah Islam yang benar tetapi niat mereka tidak baik. Ingat dan berwaspada apabila dengan slogan ‘Islam Hadhari’, jangan terus tergoda dan tergila-gila tanpa fikir dan tanpa faham kerana ia mungkin cantik pada kulit tetapi isinya busuk dengan maksiat dan kejahilan.




RUMUSAN

GMI perlu tangani cabaran dengan kaedah yang hikmah dan perancangan yang jitu agar tidak terperangkap dengan muslihat musuh yang licik. Musuh yang paling licik dan bijaksana sanggup mengharamkan partinya sendiri demi menumbangkan musuh politiknya yang bersaing dalam perebutan kerusi presiden. Musuh yang licik juga sanggup dipenjara, diseksa dan dilebamkan matanya sewaktu di ambang kemerdekaan negara semata-mata mahu keluar sebagai wira negara dan memimpin parti politik yang ditubuh semasa hampir merdeka untuk mentadbir negara. Awas, wahai sahabat mahasiswa, jangan terleka walaupun sesaat. Kuasa ditentang bukan sebarangan kuasa kerana ia mempunyai jaringan luas, saling dukung mendukung secara langsung atau tak langsung dan mendapat dana yang besar untuk menjatuhkan gerakan Islam termasuk GMI.

mahasiswamenggugat.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment