laman ini sedang dalam penambahbaikkan..
sebarang kesulitan amat dikesali..

Pembunuh senyap terus dapat sambutan tanpa sedar

Monday, July 6, 2009


POLISTERINA atau ramai yang mengenali dengan nama Inggerisnya, polisterin, bekas makanan atau minuman berwarna putih yang banyak digunakan oleh restoran atau warung untuk membungkus makanan atau minuman.

Penggunaan yang terlalu meluas menyebabkan ‘keranda putih’ itu bersepah-sepah di kebanyakan kawasan tumpuan yang sedikit sebanyak mampu menyesakkan mata dan juga mampu untuk mencemarkan alam serta menjadi pembunuh senyap. Itu sebabnya Bidai memanggilnya ‘keranda putih’.

Bidai pernah menulis mengenai perkara ini ketika Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Kelab Alam Sekitar melakukan promosi Tapau-Mania yang menggalakkan penuntut universiti itu menggunakan bekas makanan dan minuman sendiri. Jika tidak membawa bekas sendiri, mereka boleh menggunakan pembungkus yang lebih mesra alam dengan tambahan 20 sen.

Selepas itu, Bidai turut mengulas mengenai Natures Harmony Industries Sdn. Bhd. (NHI) yang berjaya membangunkan bekas makanan pakai buang yang boleh dimakan.

Menarik ciptaan NHI itu di mana Pengurus Besar NHI sendiri, P. Ramaness, menunjukkan kepada media dia memakan bekas makanan yang dicipta bagi membuktikan kebenaran promosi yang dilakukan.

Malah lebih menarik, NHI bukan hanya mencipta sesuatu yang memberi manfaat kepada seluruh dunia, malah telah mengambil inisiatif untuk mendapatkan status halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diiktiraf berkualiti oleh SIRIM serta mesra alam. Ia boleh lupus dalam tempoh 28 hari berbanding bahan plastik dan kertas yang melebihi tempoh tersebut.

USM dan NHI yang berjaya mengubah persepsi dan amalan kepenggunaan diikuti oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga telah mengorak langkah menggunakan bekas mesra alam yang dikenali sebagai biopak demi untuk menjaga alam sekitar.

Bukan hanya mereka, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut mengharamkan penggunaan bekas makanan polisterina di dalam kampus bermula sesi Julai tahun lalu melalui program Kempen Mesra-Eko (RFC) termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui program ‘Bans White Coffin’.

Dan banyak lagi universiti, orang perseorangan termasuk yang terbaru kerajaan negeri Pulau Pinang telah melarang penggunaan polisterina pada semua program rasminya bagi mengelakkan kesan negatif kepada alam sekitar dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Bidai menyanjung tinggi usaha semua pihak ini. Namun agak hairan kenapa sehingga kini masih banyak lagi penggunaan bekas pakai buang polisterina ini digunakan?

Yang lebih tragis ialah walaupun umum sudah mengetahui mengenai bahaya bekas makanan polisterina yang mampu menyebabkan kanser, masih ramai lagi yang hendak gunakan dan menyokong penggunaan berkenaan.

Bidai imbau kembali berita Mei lalu yang memetik Ketua Pusat Penyelidik Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Ku Halim Ku Hamid yang mengatakan tahap bahaya polisterina yang mempunyai stirena dan berasal dari phemynl mampu memberi masalah kepada sistem kesihatan.

“Organ-organ dalam badan manusia akan menerima kesan secara tidak langsung terutamanya kepada sistem pencernaan dan turut boleh melibatkan darah serta hati.

“Walaupun tiada kajian, namun kewujudan stirena ini tetap ada dalam bekas makanan malah bertambah bahaya jika sumber makanan atau minuman yang digunakan berasid,” katanya.

Dan melalui berita itu, Prof. Ku Halim turut mahu bekas makanan polisterina itu diharamkan yang turut dilakukan di beberapa negara maju yang lain.

Beliau menambah: “Bukan sekadar kepada kesihatan malah turut memberi kesan buruk kepada alam sekitar kerana ia mengambil masa selama beratus-ratus tahun untuk terurai.”

Menyokong usaha itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut mendedahkan bahawa bekas polisterina juga mendakwa ia memberikan ancaman kepada kesihatan dan juga alam sekitar.

Presiden CAP, S.M Mohamed Idris berkata, bungkusan polisterina biasanya mengandungi sedikit sisa stirena kerana proses pembuatannya tidak 100 peratus berkesan.

“Terdapat dua cara stirena ini boleh menyerap masuk ke dalam makanan jika bekas makanan itu masih baru disebabkan ia belum sebati manakala yang lama mudah terurai akibat panas dan pancaran matahari.

“Stirena yang meresap dalam makanan itu akhirnya akan masuk ke dalam badan dan bakal menjejaskan kesihatan manusia,” jelasnya.

Dan katanya lagi, Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), telah mengkelaskan stirena sebagai bahan karsinogen Kumpulan 2B iaitu ejen penyebab kanser.

“Kesan buruk stirena ini akan menyebabkan mutagen yang boleh memberi perubahan genetik dan ini menyumbang risiko kanser dan merosakkan sistem pembiakan,” katanya lagi.

Membaca petikan itu membuatkan Bidai terdiam dan mula berfikir kenapa polisterina masih ada lagi di negara ini.

Adakah sebab penggunaan bekas makanan yang mesra alam memerlukan tambahan antara 10 hingga 20 sen menghalang usaha menyelamatkan lebih banyak mangsa kesihatan yang tidak diketahui puncanya?

Adakah pihak berkuasa masih merasakan nilai nyawa seseorang lebih rendah daripada 20 sen dan membiarkan usaha-usaha yang dijalankan oleh mereka yang sedar mengenai bahaya polisterina ini terkubur sahaja?

Untuk itu, Bidai ingin menyeru kepada mereka yang pentingkan kesihatan agar mula menggunakan bekas makanan pakai buang selain daripada polisterina atau lebih mudah, gunakan bekas makanan dan minuman sendiri.

Lebih jimat, lebih mudah, lebih selamat. Bagi mereka yang tak kisah dengan nyawa sendiri macam perokok, teruskanlah guna bekas polisterina kerana mana tau, anda mungkin dapat hadiah, KANSER!

Fikirkanlah...

-utusan online-

0 comments:

Post a Comment