laman ini sedang dalam penambahbaikkan..
sebarang kesulitan amat dikesali..

Manifesto Mahasiswa Peringkat Nasional

Wednesday, February 16, 2011

Kenyataan media ini disediakan berhubung pelancaran manifesto mahasiswa peringkat nasional oleh Pro Mahasiswa Nasional sempena pilihanraya kampus bagi tahun 2011. Manifesto ini dikenali sebagai “Kerajaan Mahasiswa; Mahasiswa Memimpin Mahasiswa”.

1.0 PENDAHULUAN

Pergolakan demi pergolakan yang berlaku dalam senario politik Malaysia bermula awal kemerdekaan negara pada tahun 1957 hinggalah ke hari ini hakikatnya memberikan impak yang besar kepada proses kematangan politik di peringkat kampus-kampus di seluruh Malaysia. Sekatan demi sekatan telah diwujudkan bagi memastikan arus kebangkitan mahasiswa di Malaysia terencat sekaligus mematikan prinsip-prinsip dan amalan demokrasi yang seharusnya menjadi tunggak pembentukan mahasiswa di kampus.

Kebebasan bersuara dan beraktiviti yang disekat secara jelas, pencabulan terhadap hak-hak mahasiswa yang juga merupakan sebahagian daripada entiti masyarakat Malaysia, kebajikan mahasiswa yang seringkali diabaikan, penyalahgunaan dalam pengurusan kewangan mahasiswa serta pelbagai elemen diskriminasi yang dilakukan terhadap mahasiswa telah merubah paradigma pemikiran mahasiswa Malaysia, menjadikan mahasiswa menjadi semakin mandom, lesu, penakut dan sebagainya.

Melihat kepada kebobrokan dan penyalahgunaan kuasa, serta penindasan sewenang-wenangnya terhadap mahasiswa, maka Pro Mahasiswa Nasional tampil, menyuarakan kehilangan percaya mahasiswa kepada mana-mana entiti atau badan bukan mahasiswa yang wujud di kampus mahupun di luar kampus dalam urusan mentadbir mahasiswa di kampus.

Justeru, hari ini, Pro Mahasiswa Nasional tampil bagi melancarkan satu manifesto untuk mahasiswa seluruh Malaysia yang dikenali sebagai “Kerajaan Mahasiswa; Mahasiswa Memimpin Mahasiswa

2.0 KERAJAAN MAHASISWA; MAHASISWA MEMIMPIN MAHASISWA

Kerajaan mahasiswa merupakan satu model pentadbiran mahasiswa di kampus yang bertindak sebagai pemimpin sebuah negara kecil mahasiswa di kampus di seluruh negara. Model kerajaan mahasiswa ini mengimplimenkan sepenuhnya kuasa pentadbiran di tangan mahasiswa atau lebih dikenali dengan konsep autonomi mahasiswa.

Melalui sistem kerajaan mahasiswa ini, mahasiswa akan menggubal sendiri akta untuk mahasiswa yang sejajar dengan Perlembagaan Malaysia, melaksanakan sendiri urusan pentadbiran mahasiswa dengan prinsip ketelusan dan penglibatan semua mahasiswa, menjalankan sendiri sistem pemilihan pemimpin mahasiswa yang lebih adil, telus dan bersih, meluluskan program-program mahasiswa berasaskan kepentingan dan kesepakatan bersama, menjaga kebajikan mahasiswa, sehinggalah kepada urusan mengawal pengaliran kewangan mahasiswa di kampus.

Pelancaran agenda Kerajaan Mahasiswa sebagai manifesto mahasiswa nasional adalah berasaskan dua faktor pendesak utama. Pertama, kegagalan pihak tertentu dalam menjalankan dan melunaskan hak serta tanggungjawab yang sepatutnya terhadap mahasiswa. Kegagalan ini menyebabkan mahasiswa hilang percaya kepada mana-mana entiti bukan mahasiswa bagi urusan pentadbiran mahasiswa. Pelbagai isu penyalahgunaan kuasa, penyelewengan kewangan aktiviti mahasiswa, sekatan terhadap kebebasan bersuara dan beraktiviti, menjadikan mahasiswa serik dan tidak lagi mahu diperkotak-katikkan oleh sesiapa saja. Mahasiswa mahu kuasa pentadbiran terhadap urusan kemahasiswaan diberikan sepenuhnya kepada mahasiswa.

Faktor pendesak kedua, kegagalan pihak universiti dalam memberikan proses pendidikan sebenar kepada mahasiswa. Mahasiswa sedar, proses pendidikan akademik adalah asas keberadaan mahasiswa di kampus. Namun, sebagai kelompok utama yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan negara, mahasiswa juga perlu disiapkan dengan ilmu-ilmu pemerintahan dan pentadbiran. Melalui Kerajaan Mahasiswa, mahasiswa dapat mempersiapkan diri untuk memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik. Dalam proses perlaksanaan, konsep kerajaan mahasiswa haruslah selalu diperbaiki seperti halnya dalam pemerintahan negara menjadikan proses kematangan mahasiswa yang terlibat dengan urusan pentadbiran ini menjadi lebih pantas.

Pemerintahan mahasiswa juga tidak seharusnya berlangsung sesuai dengan idealisme mahasiswa semata. Masih perlu syarat-syarat lain untuk terus dikenali sebagai pemerintahan mahasiswa yang baik, di mana mahasiswa dapat belajar bagaimana memimpin sebuah negara ke arah menjadikan gerakan mahasiswa sebagai gerakan moral dan intelektual (moral and intelectuality movement), gerakan politik dan nilai (political value movement) dan gerakan kebebasan berpendapat.

3.0 PENUTUP

Harapan di pihak Pro Mahasiswa Nasional adalah agar mahasiswa diberi ruang untuk memperkasakan potensi dan kemampuan diri, bukan sekadar di lapangan akademik masing-masing malah juga bagi menggilap potensi kepimpinan, menanam sikap prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebajikan dan hak-hak mahasiswa juga meningkatkan kecaknaan mahasiswa terhadap segala perubahan sosial mahupun politik dalam atau luar negara. Mahasiswa memohon agar kami diberi ruang, diberi peluang dan ditunaikan hak kami sebagai sebahagian daripada entiti rakyat Malaysia.


MAHASISWA MEMIMPIN MAHASISWA

PRO-MAHASISWA NASIONAL

0 comments:

Post a Comment